Berita Utama

Lelaki retak tempurung kepala dirempuh pemandu mabuk

PENUNGGANG motosikal retak tempurung kepala dan cedera di anggota badan selepas dirempuh pemandu warga emas yang mabuk di Jalan Raja Syed Saffi, Bintong dekat Pasaraya NFS AMG Trading, Kangar, malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam tadi, mangsa, Bishamhadi Mohamad Hasbi, 41 dikatakan menunggang motosikal untuk pulang dari kedai runcit sebelum suspek berusia 63 tahun yang memandu sebuah kereta terbabas ke kiri jalan dan merempuh mangsa dari belakang.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira 10 minit selepas kejadian berkenaan.

“Suspek dari arah Kangar yang memandu dalam keadaan mabuk dikatakan ingin pulang ke rumahnya di Taman Bunga Padi.

“Bagaimanapun, setibanya di hadapan Pasaraya NFS AMG Trading, kereta suspek hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sehingga merempuh mangsa dan turut merempuh sebuah lori diparkir di bahu jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wari berkata, mangsa dan suspek dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan, namun suspek didapati melarikan diri dari hospital sebelum dia berjaya ditahan semula kira-kira satu jam selepas itu.

“Hasil ujian alkohol terhadap suspek mendapati dia memandu dengan kandungan alkohol melebihi had yang ditetapkan di dalam tubuh badan.

“Dia kini berada dalam tahanan polis dan akan dibawa reman pada pagi ini untuk siasatan lanjut, manakala mangsa kini dirawat di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...

Leave a Reply