Viral

Lepas kucing, kanak-kanak pula disumbat dalam mesin basuh

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun nyaris maut apabila terperangkap dalam mesin basuh selama 20 minit dalam kejadian di dobi layan diri di Bukit Sentosa, Rawang dekat sini tengah malam tadi.

Difahamkan, kanak-kanak itu dimasukkan ke dalam mesin basuh tersebut oleh bapa saudaranya yang dikatakan bergurau ketika datang membasuh pakaian di kedai dobi itu bersama ibu mangsa.

Bagaimanapun, gurauan lelaki itu mengundang padah apabila pintu mesin basuh berkenaan tidak dapat dibuka menyebabkan kanak-kanak itu terperangkap di dalamnya.

Sebuah video berdurasi dua minit 46 saat berhubung kejadian tersebut turut tular dalam media sosial serta menunjukkan beberapa indvidu cuba menyelamatkan kanak-kanak itu.

Beberapa individu terbabit bertindak memecahkan cermin pintu mesin basuh berkenaan selepas usaha membuka pintu mesin itu tidak berhasil.

Sementara itu, pemilik kedai dobi berkenaan, Hazmal Hassan berkata, berdasarkan maklumat diterima, kejadian berlaku apabila kanak-kanak itu bergurau dengan bapa saudaranya yang berusia lingkungan 20-an sebelum pintu mesin terkunci dan tidak dapat dibuka.

“Kemudian, beberapa pekerja restoran yang terletak bersebelahan kedai dobinya kemudian cuba membantu untuk membuka pintu mesin basuh berkenaan namun tidak berjaya.

“Mereka bertindak memecahkan cermin pintu mesin basuh berkenaan untuk menyelamatkan kanak-kanak itu. Kejadian ini menyebabkan saya kerugian kira-kira RM3,000 malah nyawa seorang kanak-kanak hampir melayang,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai turut mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.-UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply