PETALING JAYA – Kira-kira 4,000 doktor kontrak di seluruh negara semalam melakukan mogok secara aman di lokasi mereka bertugas walaupun berisiko dikenakan tindakan tatatertib atau undang-undang.
Mogok membabitkan 30 hingga 100 doktor kontrak di setiap hospital kerajaan itu berlangsung dalam tempoh 15 hingga 30 jam dengan masing-masing membawa plakad dan ada yang berpakaian serba hitam bermula serentak pada pukul 11 pagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr. Umar Baraka berkata, kira-kira 4,000 doktor kontrak menjayakan hartal doktor kontrak meskipun mereka ditekan pelbagai pihak sama ada Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa.
Menurut beliau, gerakan mendapat keadilan buat 23,000 doktor kontrak tidak akan terhenti dengan mogok sebaliknya membayangkan mereka mungkin akan mengambil langkah seterusnya iaitu bercuti beramai-ramai.
“Kami tidak akan berganjak untuk membela nasib kami kerana kemelut ini sudah berlarutan lebih lima tahun.
“Kami sedang merancang untuk menekan kerajaan dengan pelbagai cara termasuk bercuti beramai-ramai. Namun ini cadangan awal, perkembangan lanjut akan dibuat dalam masa terdekat,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Mengulas lanjut, Umar memberitahu, pihaknya amat dukacita apabila mogok tersebut tidak mendapat sokongan malah dikritik pula doktor senior sedangkan pegawai perubatan kontrak adalah sebahagian petugas barisan hadapan.
“Kami tetap melakukan mogok hari ini (semalam) walaupun ditekan dan berisiko dikenakan tindakan selain tidak mendapat sokongan doktor senior.
“Namun kesimpulan buat hari ini (semalam) sambutan mencapai matlamat iaitu kira-kira 4,000 daripada sasaran 5,000 doktor kontrak di seluruh negara muncul bersolidariti menjayakan kempen ini.
“Bukan sahaja doktor kontrak tetapi juga jutaan rakyat Malaysia lain,” katanya.
Beliau berkata, selagi kerajaan tidak mendengar keluhan mereka, kumpulan tersebut akan terus bangkit bersuara memperjuangkan nasib.
Sementara itu, wakil hartal doktor kontrak di Kuala Lumpur yang mahu dikenali sebagai Dr. Muhammad berkata, pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung lanjutan tempoh kontrak dua tahun lagi bukan penyelesaian selagi mereka..
Menurut beliau, yang menjadi persoalan besar buat kumpulan 23,000 doktor kontrak ini ialah selepas dua tahun seperti dijanjikan dan kontrak tamat, adakah kontrak mereka akan terus terus disambung.
“Tawaran untuk menyambung kursus kepakaran sedangkan tempoh ini memakan masa lima hingga enam tahun tetapi tempoh kontrak adalah dua tahun.
“Jadi penyambungan tempoh kontrak dua tahun tidak akan selesai masalah selagi kami yang kontrak diserapkan sebagai pegawai tetap,” katanya.
Semalam menyaksikan kebanyakan hospital di seluruh negara seperti di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Johor dan Negeri Sembilan `turun padang’ bersolidariti memperjuangkan nasib masing-masing.
Mogok aman turut dipantau polis dan ada hospital yang menghalang pertugas media membuat liputan.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkat, tidak ada tanda-tanda rancangan bantahan doktor kontrak akan mengancam ketenteraman awam.
“PDRM mengambil maklum gerakan oleh sebilangan doktor yang berhasrat menganjurkan protes di seluruh negara.
“Bagaimanapun, polis akan mengatur penugasan pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) bagi memantau aktiviti protes tersebut, demi memastikan segala SOP Pelan Pemulihan Negara yang sedang berkuat kuasa, dipatuhi semasa protes diadakan,” kata Acryl Sani dalam satu kenyataan. – UTUSAN
Leave a Reply