Berita Utama

‘Macam tak percaya mak dah terkulai kat situ’ – Ibu maut nahas ngeri, enam beradik yatim sekelip mata

HULU LANGAT – Pilu, enam beradik menjadi yatim sekelip mata apabila ibu mereka terkorban dalam satu kemalangan ngeri di sini kelmarin.

Allahyarhamah Rosni Abd Razak, 44, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua maut selepas didakwa dirempuh sebuah kereta dalam satu kejadian sekitar pukul 1 tengah hari di hadapan Maahad Tahfiz Wadi Faham, Batu 17, Dusun Tua di sini.

Anak arwah, Muhd Amirul Azri, 22, berkata, kemalangan itu meragut nyawa ibunya yang ketika itu sedang dalam perjalanan menaiki motosikal ke tempat kerja dari rumah selepas waktu rehat.

“Dalam perjalanan itu, kereta itu datang dari arah bertentangan dan terus melanggar dan seret mak ke pokok (semak). Kereta itu berpusing dua kali tak silap saya dan mak pada waktu itu berada (terseret) di bawah kereta.

“Semasa orang-orang di situ mengalihkan mak, mak masih sedar dan menyahut lemah. Namun selepas dialihkan, mak terus menghembuskan nafasnya yang terakhir,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli semalam.

Jelasnya, arwah ibunya dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki, pinggang, dada dan berlaku pendarahan di muka, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu kereta berkenaan difahamkan mengalami patah kaki, manakala seorang penumpang pula mengalami patah bahu dan pendarahan di kepala.

Laporan polis dan tindakan lanjutan sudah dibuat pada hari kejadian, dalam masa sama jenazah Rosni telah dibawa ke Hospital Serdang bagi menjalani proses bedah siasat serta ujian saringan COVID-19.

“Keputusan saringan mak dijangka mungkin hari ini. (Pengebumian jenazah) paling lewat pun Selasa esok, sebab nak tahu keputusan COVID-19 dulu,” tambahnya.

Kehilangan besar buat mereka

Dalam pada itu, kata Amirul, kehilangan sekelip mata itu memberi kesan besar kepada adik-beradiknya yang lain, tambahan pula mereka sudah lama dijaga arwah ibunya selepas kedua-dua orang tua mereka berpisah.

“Ayah dengan mak dah bercerai selama tujuh tahun, jadi maklah yang tanggung kami selama ini. Ketika kejadian itu berlaku, adik saya macam tak percaya benda ini berlaku. Bak kata orang, terngiang-ngiang dalam kepala.

“Paling kecil berumur 13 tahun, dia selalu dengan mak. Memang manja. Kami semua memang rapat dengan mak. Jadi macam satu kehilangan besarlah bagi kami.


“Sebab tujuh tahun mak besarkan kami kan, kami macam tak percayalah benda ni jadi depan mata. Itulah..bahagia, marah, ketawa, bergurau semua dengan mak. Tiba-tiba kali ini tak boleh nak bergurau, tak boleh nak dengar marah, lepas itu tak boleh nak rasa masakan mak lagi. Itulah..” luahnya sebak.

Difahamkan, ketika saat-saat ‘akhir’ sebelum kejadian, arwah Rosni tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang pelik.

“Ini bergurau ke apa..”

Sebaik nahas itu berlaku, adiknya menerima panggilan daripada rakan setugas ibunya dari IKBN untuk memaklumkan apa yang terjadi, namun tidak semudah itu berita tersebut ‘diterima’.

“Dia cakap ‘ni gurau ke apa?’. Adik pun pergi sana. Adik nombor empat sampai dulu sebelum saya, kemudian diikuti adik-adik yang lain.

“Macam tak percayalah mak kita terkulai kat situ, kemalangan teruk. Macam mana mak kami jadi macam ni…” luahnya.

Bertindak atas dasar simpati, saksi kejadian, Ramlah Jais memaklumkan pihaknya telah menziarahi dan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mereka semalam sebagai tanda ihsan dan sokongan atas tragedi yang menimpa.


Jelas Ramlah, beliau turut menyampaikan nasihat serta kata-kata positif buat mereka semua agar tabah menghadapi ujian berat tersebut, dalam masa sama memastikan kebajikan adik-adik terbela semuanya.

Difahamkan, selepas tragedi tersebut, ada antara mereka kini berada di bawah jagaan nenek di Lot 680, No. 6F, Jalan Besar Batu 18, Hulu Langat.

Arwah Rosni meninggalkan keenam-enam anaknya sebagai yatim iaitu Muhd Amirul Azri, 25, juruteknik di Melaka; Muhd Amirul Azri, 22, pengawal keselamatan di gudang gas di Batu 1o; Siti Nurul Ain, 20, siswa tahun tiga di Segi College, Subang; Muhd Alan Redza, 18, tidak bekerja; Siti Laila Najwa, 16, dan terakhir Muhd Hairi Izzat, 13, masing-masing pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil, Hulu Langat.

Bagi yang ingin menyumbang, sumbangan boleh disalurkan kepada Amirul Azri melalui nombor akaun 1641 3759 3048 (Maybank) atas nama MUHAMAD AMIRUL AZRI BIN FAIZUL.

Sebarang maklumat lanjut boleh dirujuk melalui Amirul di talian 019-676 3998 atau Puan Ramlah Jais di talian 011-1058 3034.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!