Hiburan

Mael Totey The Movie pecah rekod lagi, kali ini raih RM5 juta lepas 12 hari tayangan!

Filem arahan pertama selebriti YouTube, Syahmi Sazli iaitu Mael Totey The Movie (MTTM) memecah rekod apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM5 juta dalam tempoh 12 hari tayangan.

Pengumuman itu dibuat menerusi program MeleTOP yang berlangsung sebentar tadi.

Menerusi program itu, Syahmi turut berterima kasih kepada semua yang menyokong MTTM sejak filem itu ditayangkan pada 22 Oktober lalu.

“Jutaan terima kasih tidak terhingga buat mereka yang menyokong MTTM dan Syahmi,” katanya menerusi pangggilan video secara atas talian.

Selain itu, Gempak difahamkan kutipan MTTM telah memecah rekod Astro First yang sebelum ini dipegang oleh filem Hantu Kak Limah.

Rancangan MeleTOP telah dihoskan oleh pengacara terkenal Elly Mazlein dan pengarah Michael Ang.

MeleTOP bersiaran setiap Selasa jam 9 malam hanya di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123).

Bagi anda yang masih belum tahu, MTTM yang mengangkat genre drama komedi ini mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya.

Tetapi Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya. Konflik antara Mael, cikgu dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.

Membariskan selebriti Youtube Syahmi Sazli, Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad, Aween Ismail, penyampai radio GEGAR, Ewan, serta pelakon tanah air seperti Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid, Kamarool Yusoff dan ramai lagi.

Loading...

Leave a Reply