Politik

Mahathir namakan Shafie sebagai calon PM, Anwar TPM1 dan Mukhriz TPM2

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan beliau bersama Parti Amanah Negara, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan DAP mencalonkan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Shafie merupakan Presiden Warisan.

Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan tidak rasmi bersama Shafie; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan beberapa Ahli Parlimen lain seperti Anthony Loke, M. Kulasegaran, Liew Chin Tong dan Tan Kok Wai dalam satu pertemuan di Rumah Tetamu Sabah dekat sini dua hari lalu.

Tambahnya, mereka turut bersetuju untuk mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1 manakala anaknya, Datuk Seri Muhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2.

Beliau katanya, akan mengemukakan usul tidak percaya terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang Parlimen akan datang.

“Di dalam perbincangan, saya terbuka kepada apa juga cadangan termasuk saya tidak dicalon sebagai bakal Perdana Menteri. Di antara cadangan yang dikemuka ialah pencalonan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri.

“Kami sebulat suara bersetuju Datuk Seri Shafie Apdal dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.

“Saya menyokong penuh cadangan ini. Yang penting ialah kita mempunyai pendirian yang tegas supaya rakyat tahu akan pendirian kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Mahathir, sekiranya langkah tersebut berjaya, ia mampu merapatkan lagi hubungan di antara semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Tegasnya, apa yang penting adalah perjuangan yang dimulakan sejak 2015 iaitu untuk membersihkan kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu dapat diteruskan.

“Saya juga percaya apa yang kita cadangkan ini dapat diterima oleh rakyat sebagai bukti bahawa personaliti-personaliti di dalam pemimpin- pemimpin parti pembangkang tidak utamakan kedudukan dan jawatan,” katanya. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply