IPOH – Saadiah Abdullah, balu anggota polis yang mengayuh basikal dari rumah sejauh lima kilometer selama 37 tahun untuk menghantar makanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik meninggal dunia di Hospital Gerik kerana sakit tua.
Lebih dikenali sebagai Mak Cik Saadiah, dia berbuat demikian sebagai tanda sayang dan ingatan kepada Allahyarham suaminya, Alias Nik Daud, yang pernah bertugas di IPD itu.
Alias, seorang jurubot polis terkorban dalam serang hendap komunis ketika bertugas pada 28 Ogos 1975.
Walaupun tahu suami telah tiada, namun Makcik Saadiah tetap mengayuh basikal menghantar makanan supaya rakan suaminya dan anggota balai itu dapat menjamah masakannya.
Makcik Saadiah berasal dari Kampung Padang, Kuala Kenderong, Gerik.
Menurut laman Facebook Viral Perak, Allahyarham Makcik Saadiah berusia 85 tahun menghembuskan nafas pada pukul 1.30 petang tadi.
“Alfatihah, dengan rasa dukacita dimaklumkan bahawa Mak Cik Saadiah meninggal dunia sebentar tadi jam sekitar 1340 hrs di Hospital Gerik akibat sakit tua.
“Moga rohnya ditempatkan bersama orang beriman dan orang orang yang bertaqwa. Aamiin Aamiin Ya Rabbal Aalamiin,” tulis pada laman Facebook itu.
Pada tahun 2012, Makcik Saadiah berhenti melakukan rutin menghantar makanan selepas insiden terjatuh basikal.
Ekoran itu, anaknya yang tinggal bersama bertindak membuka tayar basikal supaya ibunya tidak lagi mengayuh kerana khuatir mengundang bahaya.
Kisah Makcik Saadiah ini menjadi inspirasi satu iklan raya sebuah syarikat pengeluar minyak masak sempena Aidilfitri 2021 lalu yang sangat menyentuh hati. -K! ONLINE
Leave a Reply