Blog Berita Online

Berita Utama

Pengarah drama Opah meninggal dunia akibat Covid-19

KUALA LUMPUR: Pengarah drama bersiri popular era 1980-an, Opah, Mat Yusoff Ismail menghembuskan nafas terakhir pada usia 74 tahun akibat pandemik COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 9 malam tadi.

Berita pemergian pengarah senior yang juga ahli Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) itu disahkan oleh anak sulungnya, M Yusri Mat Yusoff.

“Arwah bapa dimasukkan ke HKL sejak Isnin lalu. Namun, sebelum ini keadaannya sudah semakin pulih. Namun, Allah lebih menyayanginya apabila menghembuskan nafas terakhir, semalam.

“Selain jangkitan COVID-19, arwah mempunyai komplikasi penyakit lain termasuk kencing manis.

“Arwah tinggal bersama ibu di Damansara Damai. Lebih menyedihkan, ibu juga disahkan positif COVID-19 dan sedang melakukan kuarantin kendiri di rumah adik di Selayang.

“Apa yang merisaukan, ibu berusia 72 tahun juga sudah semakin uzur,” katanya kepada BH Online.

M Yusri berkata, jenazah arwah bapanya dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak (Taman Selasih), Batu Caves, petang ini.

“Saya sedang menguruskan jenazah arwah, ketika ini. Lagipun, kematian akibat COVID-19, jadi perlu menjalani beberapa prosedur sebelum dikebumikan, petang ini,” katanya.

Allahyarham Mat Yusoff mula berkecimpung dalam kerja di balik tabir termasuk bergelar pengarah dan penerbit lebih empat dekad lalu.

Bagaimanapun, M Yusri berkata, arwah bapanya mula memperlahankan rentak dalam dunia seni sudah agak lama. Sebelum ini, arwah banyak bergerak sebagai karyawan bebas.

“Arwah bapa antara pengarah yang bertanggungjawab mengarahkan drama bersiri popular, Opah yang disiarkan di RTM pada 1983.

“Seingat saya, arwah bapa juga pernah menjadi penolong penerbit untuk filem Layar Lara arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba,” katanya.

Allahyarham Mat Yusoff meninggalkan seorang isteri, dua cahaya mata dan enam cucu.

Leave a Reply