Blog Berita Online

Berita Utama

Maut ketika cari rezeki, Ewan tinggalkan isteri dan seorang anak masih kecil

ALOR GAJAH – Seorang pemandu lori membawa bungkusan syarikat kurier rentung selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah lori tangki cecair nitrogen dan terbakar di Kilometer 221.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Syazwan Mohd. Romli, 29, ditemukan rentung di tempat duduk dipercayai akibat tersepit.

Pemandu lori tangki itu yang dikenali sebagai Kamarulzaman, 43, berkata, ketika kejadian, dia mendengar mangsa menjerit meminta tolong dan beberapa pemandu lori lain yang turut berhenti cuba membantu mengeluarkannya, namun gagal.

“Selepas kejadian berlaku, beberapa pemandu lori lain berhenti untuk memberi bantuan dan kami mendengar mangsa menjerit meminta tolong, namun kami dapati bahagian pemandu remuk teruk.

“Beberapa pemandu lain tetap berusaha cuba mengopak pintu pemandu tetapi tidak berhasil, api pula merebak dengan sangat cepat dan akhirnya kami terpaksa menunggu bantuan pasukan bomba tiba,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Jelasnya, sebelum kejadian, dia telah memberhentikan lori tangki dipandu di lorong paling kiri selepas mengalami kerosakan gara-gara melanggar sebuah treler membawa muatan bijih besi kira-kira pukul 4 pagi.

“Saya telah meletakkan kon dan berdiri di belakang lori tangki bagi memberi isyarat kepada kenderaan lain, namun lori kurier itu tidak mengelak dan terus merempuh lori tangki. Saya bagaimanapun sempat melompat ke bahagian bahu lebuh raya,” ujarnya.

Mayat dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply