DUNGUN – Seorang budak lelaki berusia 12 tahun mati lemas sewaktu bermain bersama rakannya di Sungai Dungun berhampiran Kampung Rajawali di sini semalam.
Mayat mangsa, Abdul Rafiuddin Abdul Rashid yang merupakan murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Pulau Serai di sini telah dijumpai di dasar sungai itu pada pukul 2.30 pagi tadi.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Azman Alias berkata, terdahulu mangsa dikatakan telah bermain di sungai berkenaan bersama empat rakan sekolahnya pada pukul 6 petang semalam.
“Mereka dikatakan bermain di kawasan beting pasir yang timbul di sungai berkenaan ekoran air surut.
“Bagaimanapun, sewaktu kumpulan kanak-kanak lelaki itu mahu kembali ke daratan yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian, air sungai telah kembali pasang,” katanya di sini hari ini.
Azman berkata, fenomena itu menyebabkan Abdul Rafiuddin dan seorang rakannya, Muhammad Qhalish Iman Hazimi terperangkap.
Tambah beliau, dua lagi rakannya puka terselamat kerana sempat berenang ke daratan sebelum membaling pelampung bagi menyelamatkan Abdul Rafiuddin dan Muhammad Qhalish Iman.
“Hanya Muhammad Qhalish Iman sempat berpaut pada pelampung itu manakala Abdul Rafiuddin telah dihanyutkan arus deras sungai.
“Operasi mencari dan menyelamat kemudiannya berjaya menjumpai mayat mangsa pada kedudukan 2.5 meter di dasar sungai kira-kira 12 meter dari lokasi dia hilang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Leave a Reply