Berita Utama

Mayat keenam tragedi bot terbalik di Bachok ditemui terapung

BACHOK – Mayat keenam mangsa tragedi bot terbalik di kawasan perairan berhampiran Kuala Kemasin pada Isnin lalu, berjaya ditemui kira-kira 21 batu nautika dari Jeti Perikanan Kemasin, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Shamsulmuddin Sulaiman, berkata mayat Harun Daud, 57, ditemui terapung di laut pada jam 4.19 petang oleh nelayan yang sedang memancing di kawasan terbabit.

Beliau berkata, penemuan itu kemudian disahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang tiba di lokasi kira-kira jam 4.50 petang.

“Mayat mangsa dibawa ke jeti dan tiba kira-kira jam 7 malam tadi. Identiti mangsa dikenal pasti sebagai Harun selepas pengecaman dibuat oleh anaknya berdasarkan pakaian dan seluar yang dipakai.

“Kami turut menemui sebuah telefon bimbit serta dompet mengandungi pengenalan diri atas nama mangsa,” katanya pada sidang media di Jeti Perikanan Kemasin, di sini, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, untuk bedah siasat.

Penemuan itu sekali gus menjadikan dua lagi mangsa hilang, iaitu Arman Ismail, 43, dan Che Wadi Bakar, 40-an, masih belum ditemui, setakat ini.

Sementara itu, ketibaan jenazah Harun yang juga bekas Penghulu Kampung Pengkalan Pasir dengan iringan hujan secara tiba-tiba, menambah kepiluan keluarga mangsa.

Isteri mangsa, Rusniwati Abdullah, 50, bersama anak dilihat berpelukan sambil menangis sebaik saja melihat mayat mangsa.

Abang mangsa, Sufri Daud, 60, berkata keluarga mereka bagaimanapun reda dan bersyukur kerana mangsa akhirnya ditemui selepas berikhtiar, termasuk menunaikan solat hajat serta berdoa sejak arwah dilaporkan hilang, empat hari lalu.

Loading...

Leave a Reply