Berita Utama

Mayat mangsa kelima tragedi kepala air ditemui bawah timbunan kayu

YAN: Mayat mangsa kelima yang hilang dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur di kaki Gunung Jerai di sini, pada Rabu lalu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Sayani Saidon, berkata mangsa, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, ditemui di bawah timbunan kayu di kawasan Titi Hayun di sini, pada jam 3.23 petang tadi.

“Kita berjaya mengeluarkan mayat mangsa pada jam 3.28 petang dan mendapati jasadnya masih berada dalam keadaan baik.

“Operasi SAR akan diteruskan untuk mencari mangsa terakhir di kawasan Titi Hayun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada Sabtu, pasukan penguat kuasa dan agensi yang menjalankan operasi SAR dilaporkan menemui petunjuk baharu membabitkan dua lagi mangsa termasuk Ku Shuib.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superitenden Shahnaz Akhtar Haji, berkata pasukan SAR tidak menolak kemungkinan kedua-dua mangsa terbabit tertimbus di bawah timbunan tanah dan pokok-pokok.

Untuk rekod, dalam kejadian kepala air yang berlaku pada Rabu, tujuh mangsa dilaporkan hilang dengan seorang ditemui selamat manakala empat yang lain ditemui maut, sebelum ini.

Mangsa yang ditemui maut sebelum ini disahkan sebagai Ahmad Din, 68, yang ditemui di Kampung Setoi manakala mangsa kedua, Shahruzi Mohamad, 53, ditemui di Kilometer 8 Gunung Jerai pada jam 11 malam pada hari kejadian.

Mangsa ketiga, Zainol Morad, 66, ditemui di Kampung Titi Hayun pada jam 12.30 tengah malam Khamis manakala mangsa keempat, Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28, ditemui pada Khamis di Kampung Keda Sungai Udang kira-kira enam kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Dengan penemuan mayat mangsa kelima hari ini, pasukan SAR kini menumpukan usaha mencari mangsa terakhir yang dikenali sebagai Riduan di kawasan Titi Hayun.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!