Berita Utama

Mayat kelima tragedi bot terbalik ditemui

SUASANA pilu menyelubungi Jeti Perikanan Kemasin, Bachok apabila mayat pertama daripada empat pemancing yang hilang dalam kejadian bot terbalik dibawa naik jam 2.18 petang tadi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Ahmad Syafiq Che Alim, 29, selepas proses pengecaman dibuat ibu bapa mangsa, Ghaniah Deraman, 62, dan Che Alim Muda, 69.

Ibu bapa dan keluarga mangsa dilihat tidak dapat menahan sebak sebaik bungkusan hitam yang berisi mangsa dibuka bagi proses pengecaman.

Mangsa ditemui Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) ketika menjalankan operasi pencarian dan penyelamatan (SAR) melalui unit penyelam.

Pengarah APMM Kelantan, Kapten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, mangsa ditemui dalam ruang rehat bot di kawasan laut berkedalaman 40 meter.

Katanya, pihaknya mengalami kesukaran mengeluarkan mayat yang terperangkap dalam ruang rehat itu kerana ruang sempit dan keadaan gelap.

“Kita menemui mayat dalam bot itu pada jam 7 pagi namun kita mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mangsa kerana dia terperangkap dalam ruang yang sempit selain berdepan alatan memukat, jaring dan tali yang berbelit yang membahayakan penyelam.

“Kita percaya mangsa bersembunyi di ruang rehat itu bagi menyelamatkan diri ketika bot dilanda ribut namun gagal keluar selepas terperangkap,” katanya ketika ditemui di jeti itu, hari ini.

Muhd Nur Syam berkata, operasi penyelaman dilakukan tiga anggota skuba APMM selain turut dibantu unit penyelam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, pihaknya juga mengambil keputusan menunda bot berkenaan memandangkan keadaan bot yang boleh tenggelam pada bila-bila masa.

“Tindakan itu terpaksa diambil kerana pencarian mangsa lain di sekitar bot itu jika dilakukan di tengah laut agak berisiko,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga terpaksa menunda bot berkenaan sebanyak dua kali apabila tundaan kali pertama dengan bot nelayan gagal kerana bot itu berat.

Tundaan kedua pula dibuat menggunakan tiga bot pukat tunda dengan membawa bot terbalik itu ke kawasan muara bagi memudahkan pencarian tiga lagi mangsa yang hilang.

“Proses menunda bot berkenaan sudah digerakkan dan kita jangka dalam tempoh sejam atau dua jam akan tiba di muara Kemasin.

“Selain akan mencari mangsa lain di seluruh bahagian bot, kita juga teruskan usaha mencari kesemua mangsa di sektor-sektor yang ditentukan di kawasan laut kerana mungkin ada mangsa yang terjun ke laut dan berpaut pada objek lain bagi menyelamatkan diri,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Loading...

Leave a Reply