Berita Utama

Menteri jawab kekeliruan berhubung isu daftar MySejahtera di stesen minyak

KUALA LUMPUR – Orang ramai perlu mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual jika memasuki stesen minyak untuk membuat pembayaran, menggunakan mesin ATM, surau dan tandas.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, namun individu yang membuat pembayaran menggunakan kad kredit, debit atau aplikasi tidak perlu mengimbas dan mendaftar masuk menggunakan MySejahtera.

“Mesyuarat teknikal MKN hari ini turut membincangkan isu mendaftar (check in) melalui aplikasi MySejahtera di stesen minyak.

“Untuk lebih jelas, mesyuarat hari ini memperincikan prosedur operasi standard (SOP) antaranya bagi individu yang melakukan pembayaran atau transaksi dalam kedai di stesen minyak sama ada untuk membuat pembayaran petrol, pembelian barangan, mengeluarkan duit di ATM perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau manual.

“Bagi individu yang menggunakan surau dan tandas juga perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau manual. Individu yang mengisi minyak di mesin pam dan membuat transaksi melalui kad kredit, debit aplikasi dalam talian tanpa perlu masuk ke kedai dalam stesen minyak, mereka tidak perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau manual,” katanya pada sidang media harian, hari ini.

Ismail Sabri berkata, individu yang membuat transaksi atau membayar melalui tingkap ‘pigeon hole’ tanpa memasuki kedai stesen minyak juga tidak perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau manual.

“Individu yang mengisi angin tayar juga tidak perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau manual. Bagi individu yang menghantar kenderaan ke bengkel di setesen minyak, mereka perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau manual.

“Manakala individu yang menggunakan perkhidmatan cuci kereta secara manual, mereka perlu mendaftar melalui aplikasi My Sejahtera atau manual,” katanya.

Menurutnya, bagi individu yang menggunakan perkhidmatan cuci kereta secara automatik mereka tidak perlu mendaftar melalui aplikasi M Sejahtera atau manual kecuali jika membuat pembayaran di dalam kedai stesen minyak.

“Maklumat lanjut berhubung SOP di stesen minyak ini boleh dirujuk di laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),”katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!