Berita Utama

Menteri KDN jumpa Asri Janggut, jamin ambil tindakan terhadap anggota polis terlibat judi haram

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didapati terlibat dalam aktiviti melindungi perjudian haram di Sungai Buloh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beliau memandang serius perkara itu dan akan memastikan anggota yang terlibat dikenakan tindakan disiplin berdasarkan kesalahan yang dilakukan.

Katanya, perkara sama turut dibuat terhadap pihak yang melakukan kesalahan berkenaan sebagaimana didakwa oleh pemberi maklumat.

“Bukan sahaja kepada orang yang melakukan (pusat judi haram), begitu juga dengan anggota PDRM yang ada di situ.

“Kalau betul-betul mereka terbabit kita akan bagi kepada jawatankuasa disiplin untuk memastikan mereka boleh diambil tindakan mengikut apa yang patut kita akan buat,” katanya pada sidang media di Pejabatnya di Parlimen hari ini.

Terdahulu, Hamzah mengadakan pertemuan dengan Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd. Asri Hamid atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Asri Janggut’ bagi mengetahui pendedahan yang ditularkan berhubung aktiviti perjudian dan perniagaan haram di Sungai Buloh, baru-baru ini.

Beliau mahu mendapatkan gambaran sebenar daripada Asri berhubung pendedahannya selain memberikan nasihat ekoran pendedahan yang dibuat boleh mengundang risiko kepada dirinya dan keluarga.

Dalam pada itu Hamzah turut memberikan nasihat kepada orang ramai agar tidak sesekali membuat pendedahan secara terbuka mengenai aktiviti haram sebagaimana yang dilakukan oleh Asri.

Ini kerana katanya, beliau bimbang pihak yang mendedahkan maklumat itu akan mendapat ancaman dan adalah lebih baik sekiranya ia diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Lain kali buat video elok-elok dan hantar kepada saya. Video itu boleh dihantar ke pejabat saya di KDN (Kementerian Dalam Negeri) di Putrajaya.

“Jangan buat macam Asri diviralkan, nanti jadi macam-macam masalah. Belum sampai kepada saya dah jadi isu. Nanti jadi masalah kepada diri dan keluarga dia (Asri).

“Kalau ada orang nak buat hantar kepada saya dulu. Biar saya tengok dan saya buat penyelidikan yang lebih sesuai mengikut perundangan yang ada ,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply