Berita Utama

Menteri Kesihatan difitnah main golf di Desaru

KUALA LUMPUR – “Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mengatakan saya bermain golf semalam.

“Fitnah seperti ini bertujuan memburukkan nama saya,” luah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba kepada Harian Metro.

Beliau yang dihubungi hari ini, menegaskan bahawa sepanjang semalam beliau berada di kementerian mempengerusikan beberapa mesyuarat.

“Saya difitnah bermain golf di Desaru, Johor dan ia menampakkan seolah-olah saya ‘hilang’ daripada menjalani tugas.

“Malah, semalam bermula 7.45 hingga 9.30 pagi saya mendapat taklimat harian daripada pegawai tertinggi mengenai Covid-19 dan seterusnya pada 11 pagi hingga tengah hari saya ada mesyuarat bahagian latihan kementerian.

“Selepas itu, 3 petang pula saya mempengerusikan majlis penasihat kesihatan mental kebangsaan kerana kita tahu disebabkan Covid-19 ini ramai yang mengalami tekanan dan kemurungan.

“Oleh itu, kami berbincang mencari jalan untuk menangani permasalahan ini pasca Covid-19 dan selepas itu jam 6 petang saya ada taklimat Covid-19 untuk data terkini sampai 7 malam,” katanya.

Dr Adham berkata, tuduhan yang bertebaran di media sosial itu berkemungkinan tercetus akibat salah faham disebabkan namanya tersenarai untuk makan tengah hari di hotel berkenaan.

“Apa yang berlaku, salah faham sebab nama saya ada tersenarai untuk makan tengah hari.

“Saya memang akan pergi ke Lotus Desaru, Johor esok (4 Oktober) 11 pagi untuk merasmikan perjumpaan bersama pemimpin Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI), namun bukan untuk bermain golf.

“Saya juga akan meminta mereka untuk bersama menjadi barisan hadapan menangani Covid-19,” katanya yang akan terus memberi penjelasan kepada semua pemegang taruh untuk memperkasa komuniti dalam menangani Covid-19.

Semalam tular di media sosial dakwaan menyatakan, Dr Adham bermain golf di hotel terkemuka di Johor ketika kes jangkitan Covid-19 mendadak.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!