Blog Berita Online

Berita Utama

‘Mereka senyum dan melambai-lambai kepada saya’

MELAKA: “Saya bermimpi bertemu ketiga-tiga cucu, mereka datang kepada saya, senyum, peluk saya dan akhirnya melambai kepada saya sebelum tersedar,” kata Mohamad Ahad, 67, datuk kepada tiga kanak-kanak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Taman Rekrasi Gunung Lang, dekat Ipoh, Perak, semalam.

Mohamad berkata, mimpi dialami lewat malam tadi itu adalah paling menyedihkan baginya selepas cucu kesayangan, Allahyarham Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, itu pergi mengadap Ilahi.

“Saya sangat terasa kehilangan mereka sampai terbawa-bawa dalam tidur, lebih-lebih lagi Muhammad Lufti Hakim yang tinggal bersama saya kira-kira dua bulan sebelum diambil semula oleh ibunya, Selasa lalu untuk pulang ke Pulau Pinang.

“Cucu kedua saya itu rapat dengan saya dan sudah pasti keriuhan dan kepetahan ketika tinggal bersama saya akan jadi kenangan selamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Jati, Batu Berendam di sini hari ini.

Beliau bersyukur Allah ‘meminjamkan’ tiga cucu yang baik, manja dan comel kepada mereka sekeluarga.

Mohamad berkata, suasana ketika minum pagi bersama Allahyarham Muhammad Lufti, Selasa lalu masih segar dalam ingatannya.

“Ketika sedang bersarapan, cucu datang menyapa dan bertanyakan menu makanan lalu menyuarakan ingin makan bersama.

“Apabila saya menyuruhnya meminta dengan nenek, dia terus berkata mahu minum bersama saya kerana hendak jalan jauh. Dia kata `saya mahu minum dengan atok, saya nak jalan jauh… jalan jauh tok’,” katanya yang beberapa kali menitiskan air mata tidak dapat menahan sebak.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3 petang itu, kereta Perodua Axia dipandu ibu tiga beradik itu, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, terbabas dan melanggar belakang treler di laluan kecemasan.

Kemalangan tragis itu mengakibatkan Muhammad Adam Hakimi, Muhammad Lutfi Hakim dan Muhammad Affan Hafiy maut di tempat kejadian, manakala Nur Aimi Nadiah parah.

Leave a Reply