Berita Utama

Muhyiddin dilantik sebagai Menteri Mentor, contohi pelantikan di Singapura?

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dicadangkan dilantik sebagai Menteri Mentor dalam kerajaan baharu yang akan dibentuk jika mendapat perkenan dari Yang di-Pertuan Agong.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, jawatan berkenaan atau dikenali sebagai Menteri Pembimbing akan menyerupai perjawatan seperti di Singapura, pada 2004.

“Muhyiddin akan berperanan sebagai Menteri Mentor. Jika beliau masih lagi memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan seperti Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, maka secara dasarnya beliau pada awal lagi tidak patut letak jawatan.

“Cuma, disebabkan isu kehilangan sokongan wakil rakyat dalam kerajaan, beliau yang menjadi punca keadaan ini berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menteri Mentor merupakan perjawatan di Singapura ekoran rombakan Kabinet dengan bekas Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, menjadi satu-satunya individu memegang tanggungjawab itu selepas berundur daripada jawatannya selepas 34 tahun.

Selain itu kata beliau, Perikatan Nasional (PN) telah mencapai kesepakatan dan persetujuan dengan Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri ke-9.

Katanya, sebagai timbal balas kepada partinya, jawatan Timbalan Perdana Menteri pula akan diberikan kepada Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi, menolak cadangan pewujudan jawatan Menteri Mentor seperti yang disebutkan Eddin Syazlee.

Sebaliknya kata Puad, kerajaan baharu yang akan dibentuk nanti harus mengelak daripada menjadi PN 2.0.

“Jangan jadikan kerajaan baru ini kerajaan proksi. Ada tangan-tangan ghaib di belakangnya. Tak payahlah cadangan menteri mentor itu. Kita tidak mahu imej kerajaan PN 2.0. Betul-betul baru dan perpaduan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

UMNO dilaporkan mencapai kata sepakat untuk menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin selepas kehilangan sokongan majoriti 15 ahli Parlimen UMNO.

Muhyiddin dan seluruh Kabinet telah menyembah maklum surat peletakan jawatan kepada Seri Paduka dan dilantik sebagai ketua kerajaan sementara atau caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!