Berita Utama

Mujahid difitnah mahu berdebat dengan Abdul Azeez

Anggota Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof menyifatkan jemputan debat berkenaan isu Tabung Haji yang diuar-uarkan oleh Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim itu adalah satu tuduhan jahat.

Jelas Mujahid, beliau juga tidak diberi pendedahan oleh Abdul Azeez berkenaan perkara tersebut.

“Dia tak beritahu saya pun untuk berbincang berkenaan perkara (program debat) ini, saya pun katalah ia palsu,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Abdul Azeez, mendakwa bahawa beliau akan berdebat dengan Mujahid bagi membincangkan isu Tabung Haji pada pukul 8.30 malam ini di Kuala Lumpur.

Berdasarkan jemputan tersebut, dilihat moderator yang bakal mempengerusikan program tersebut ialah Timbalan Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar) Ayatullah Helme Mohd Hanafi dengan anjuran SuaraTV.

Bagaimanapun, Mujahid sudah menafikan program itu beberapa jam selepas hantaran Abdul Azeez mula tular.

Dalam penafian di Twitter, Mujahid berkata beliau sedia berdebat dengan Abdul Azeez menggunakan platform yang bebas.

“Saya bersetuju debat bersama YB Azeez Rahim menggunakan platform yang bebas seperti Sinar Harian. Belum debat dah fitnah,” katanya.

Mujahid mengulangi perkara itu dalam sidang medianya.

“[..] saya nak platform bebas dan saya difahamkan dia nak buat di SuaraTV di PWTC dan moderator pun kita kenal siapa.

“Ini tak betul,” katanya lagi.

Tambah Mujahid lagi, beliau juga tidak akan berhenti untuk bercakap benar berkenaan isu tersebut.

“Beritahu dia (Abdul Azeez) nama saya Mujahid, bahasa arab makna pejuang.

“Saya tidak akan berhenti untuk cakap benar,” katanya lagi.

Loading...

Leave a Reply