Berita Utama

‘Mungkin saya orang paling dibenci di Malaysia sekarang..’ – CEO KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) belum membuat keputusan dalam isu pengeluaran Akaun 1 kerana masih dalam peringkat perbincangan bersama Kementerian Kewangan.

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Tunku Alizakri Alias berkata, pihaknya akan melihat semua aspek dengan mengimbangi keperluan semasa ahli sebelum membuat keputusan rasional.

Ini termasuk proses penelitian, semua perincian termasuk syarat, kaedah serta siapa yang layak sebelum diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau mengakui berdepan tekanan dimana ahli politik juga sebulat suara menyokong pengeluaran RM10,000, tetapi perkara itu tidak akan ‘menganggu’ pihaknya dalam membuat keputusan terbaik.

“Saya faham ramai orang marah, bimbang, rungsing kerana kesan pandemik ini yang tidak pernah berlaku kesan sebesar ini.

“Mungkin, saya menjadi orang paling dibenci di Malaysia sekarang kerana membuat keputusan yang tidak popular, biarlah orang kecam saya tetapi akan jalankan tugas saya untuk melindungi masa depan ahli.

“Ya, kita mendengar semua pandangan, tetapi kita tetap berpegang teguh dalam membuat satu keputusan yang tidak akan menggadaikan masa depan ahli kerana keutamaan kita hanya berkhidmat untuk ahli tidak berkait rapat perkara lain termasuk tekanan politik sekalipun,” katanya.


Tunku Alizakri berkata, sekiranya terdesak sekalipun, pengeluaran Akaun 1 akan menjadi jalan penyelesaian terakhir berikutan besar kesannya kepada ahli jika pengeluaran dilakukan ketika ini.

“Kita ambil contoh jika seseorang ahli yang mengeluarkan RM10,000 itu kini berusia 30 tahun dan dijangka bersara pada usia 60 tahun, dia akan terkesan tiga kali ganda akibat pengeluaran itu.

“Mengikut rekod KWSP, 43 peratus atau 5.38 juta ahli mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 1 manakala 54 peratus atau 137,000 daripada 254,000 ahli berusia 54 tahun pada 2020 mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.

“Jadi, seharusnya pengeluaran KWSP menjadi pilihan terakhir apatah lagi kerajaan kita juga menyediakan pelbagai kemudahan bantuan bagi membantu kelangsungan rakyat ketika berdepan situasi Covid-19 ini,” ujarnya.

Tambah beliau, ahli berpeluang mendapatkan khidmat nasihat perunding kewangan bertauliah bagi membantu menguruskan masalah kewangan.

“Ya, ini wang anda (ahli), tetapi buat keputusan yang betul dan jangan terburu-buru jika kita tidak membuat keputusan yang baik hari ini ia akan jejaskan masa depan.

“Bukan saya kata jangan (keluarkan Akaun 1), tetapi kita hendak pastikan ahli buat keputusan rasional dan baik yang mengimbangi semua aspek termasuk untuk hari ini dan akan datang iaitu keluarkan untuk keperluan saja.

“Dalam keadaan genting ini, pastikan ahli merancang dan tahu berapa perbelanjaan keperluan dan keutamaan dalam masa terdekat ini sebelum memutuskan membuat pengeluaran,” tambahnya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!