Berita Utama

Nahas helikopter: Saksi kejadian dedah apa sebenarnya yang berlaku

AMPANG – “Saya nampak helikopter merah melanggar belakang helikopter biru menyebabkan ekor helikopter biru itu patah,” kata Puteri Nur Elani Ismail, 25, saksi tragedi helikopter terhempas di Taman Melawati, di sini, hari ini.

Difahamkan, helikopter jenis Guimbal Cabri G2 (G2CA) berwarna biru dinaiki dua mangsa yang terkorban, manakala helikopter jenis sama berwarna merah pula dinaiki dua mangsa yang terselamat.

Penuntut sebuah kolej swasta itu berkata, ketika kejadian 11.30 pagi, dia sedang mengambil daun senduduk berhampiran Bulatan Bukit Emas yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Elaini mengakui sebelum kejadian dia turut mendengar bunyi di udara dan menyangka helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan tinjauan.

“Apabila saya lihat, nampak ada dua helikopter sedang terbang iaitu biru di depan dan merah di belakang. Secara tiba-tiba (helikopter) yang merah melanggar belakang (helikopter) biru.

“Akibat pelanggaran itu, bahagian belakang helikopter biru patah dan merah pula berhenti. Kemudian helikopter biru menjunam ke bawah dan saya mendengar bunyi dentuman kuat.

“Manakala, helikopter merah meneruskan perjalanan dan mendarat di kawasan sekolah yang terletak berhampiran,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini.

Nur Elaini berkata, dia turut ke lokasi helikopter itu terhempas dan melihat orang ramai dengan anggota polis mengawal lalu lintas.

Sementara itu, pengawal keselamatan Apartment Taman Melawati Hillside, Chan Chee Hoy berkata, dia mendengar bunyi dentuman kuat seakan bom.

“Sebelum itu, saya dengar bunyi bising dan menyangka ada lori sedang mengangkat barang kerana laluan di sini memang kerap dilalui kenderaan berat.

“Saya keluar pondok pengawal dan terkejut melihat sebuah helikopter berwarna biru terhempas di kawasan belukar di hadapan apartmen ini,” katanya.

Katanya, ini kejadian kali pertama berlaku di kawasan itu.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!