Berita Utama

Najib cadang GST diperkenal semula lepas negara pulih Covid-19

Bekas perdana menteri Najib Razak mencadangkan supaya sistem percukaian barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula secepat mungkin selepas negara pulih daripada pandemik Covid-19.

Ini kerana menurut ahli parlimen Pekan itu, ia dapat mencapai matlamat dalam mengurangkan jurang pendapatan antara rakyat di negara ini.

“Kutipan-kutipan hasil GST ni mampu diagihkan kepada golongan B40 dan M40 dalam bentuk bantuan tunai rakyat yang jauh lebih besar berbanding dengan nilai GST yang dibayar mereka.

“Sebab tu kita perlu melaksanakan semula sistem GST secepat mungkin apabila negara pulih daripada Covid sekiranya ingin mencapai matlamat mengurangkan jurang pendapatan, matlamat menarik pelaburan dan mengukuhkan kekuatan fiskal kerajaan,” katanya dalam ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

GST dilaksanakan sewaktu pentadbiran Najib pada 2015 pada kadar 6 peratus.

Cukai berkenaan dianggap kontroversi kerana dikatakan menjadi beban kepada rakyat dan menjadi punca harga barang meningkat. Ia kemudian digantikan semula dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Bagaimanapun bagi mereka yang menyokong GST menganggap sistem percukaian itu lebih telus dan mampu mengurangkan kegiatan pengelakan cukai berbanding SST yang dikatakan mempunyai banyak kelemahan.

Harga barang naik lepas SST diperkenal

Sebagai respons balas kepada kenyataan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Najib yang juga bekas menteri kewangan berkata ketirisan yang disebabkan ekonomi gelap (black economy) menguncup daripada 25 peratus kepada 10 peratus apabila GST dilaksanakan.

“Jadi, ketirisan tu sebenarnya lagi teruk sebelum GST. Sebab itulah GST memberi manfaat kepada negara dan kepada rakyat.

“Setelah tiga tahun dimansuhkan, persepsi sebagai rakyat bahawa GST merupakan punca utama harga kenaikan barang terbukti tidak benar dan meleset sama sekali apabila harga barangan asas menaik ketara setelah SST diperkenal semula menggantikan GST,” katanya.

SST diperkenalkan semula selepas Pakatan Harapan berjaya merampas Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Jelas Najib, GST juga mensasarkan kepada ekonomi gelap di Malaysia iaitu RM300 bilion setahun sebelum ini, yang terlepas daripada membayar sebarang cukai.

“Inilah ketirisan yang paling teruk sekali untuk makluman Muar (Syed Saddiq),” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!