KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yakin penyusutan nilai Ringgit yang dihadapi Malaysia pada masa ini mempunyai kaitan dengan prestasi pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sehubungan itu, bekas perdana menteri paling lama berkhidmat berkenaan sekali lagi menggesa Najib berundur daripada kedudukannya demi memulihkan ekonomi Malaysia.
“Saya nak lihat Najib letak jawatan. Kalau Najib turun, nilai mata wang akan naik sekelip mata,” katanya di sini, Sabtu.
Beliau berucap ketika menghadiri Majlis Hi-Tea bicara politik bertajuk ‘Kembalikan Maruah Perjuangan Bangsa’ anjuran Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Bahagian Pandan.
Ketika sidang media selepas majlis itu, Dr Mahathir berkata, beliau turut bersetuju dengan pandangan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang mengaitkan kejatuhan nilai Ringgit dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Kita dengar Zeti kata selagi masalah 1MDB dan derma RM2.6 billion tidak diselesaikan, nilai mata wang tidak akan pulih.
“Zeti cakap dan saya pun berpendapat macam tu.
“Semua mata wang jatuh tapi mata wang kita jatuh lebih teruk daripada yang lain, saya kaji jugak itu (kaitan isu 1MDB),” katanya.
Leave a Reply