Berita Utama

Najib masih Perdana Menteri Malaysia paling teruk – Tun M

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia paling teruk dalam sejarah negara ini.

Memetik laporan MalaysiaNow, kritikan Dr Mahathir terhadap Najib, yang terlibat dalam skandal 1MDB masih berterusan hingga menyebabkan beliau bertindak meninggalkan UMNO.

“Mana-mana kerajaan yang dianggotai Najib, akan teruk,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaNow apabila ditanya mengapa tidak bersama dengan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apabila diminta mengulas berkenaan Najib, ada beberapa perkara yang menjadi penegasan Dr Mahathir.

“Individu ini (Najib) diketahui sebagai seorang penjenayah. Mencuri wang yang banyak, pengubahan wang haram dan pelbagai lagi.

“Dia juga didapati bersalah atas tujuh pertuduhan, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun,” katanya yang mengaitkan pertuduhan ke atas Najib berkenaan SRC International.

Namun, pada masa sama Dr Mahathir tidak pernah mengenepikan hormat beliau kepada bapa Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
“Tun Razak merupakan Perdana Menteri terbaik yang pernah kita miliki. Saya ingatkan anaknya akan lebih kurang Tun Razak.

“Sebaliknya dia (Najib) merupakan yang paling teruk. Dia mencuri duit, bukan satu dua ringgit, berbilion ringgit. Seluruh dunia mengkritik negara ini, daripada menjadi Harimau Asia, kita jatuh kepada negara kleptokrasi, negara yang dipimpin oleh seorang pencuri.

“Semua ini berlaku ketika Najib menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau kekal dengan pendirian menolak sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin yang beliau percaya telah memberi nafas baharu kepada Najib.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!