Berita Utama

‘Saya akan ditidurkan, maafkan semua’ – Hantaran terakhir Nizam sebelum dijemput Ilahi undang sebak

Sungai Petani: “Saya akan ditidurkan, maafkan semua.” Itu hantaran terakhir dimuatnaik Muhammad Hanizam Azman, 30, di Facebook (FB) sebelum dia meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), semalam.

Allahyarham meninggal dunia empat jam selepas memuatnaik hantaran itu dengan ramai rakannya masih meninggalkan komen tanpa mengetahui dia sudah pergi buat selama-lamanya.

Muhammad Hanizam atau lebih mesra dipanggil Angah dalam kalangan keluarga serta rakan adalah seorang penyanyi dan mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2009.

Allahyarham juga pernah dinobatkan sebagai johan Bintang Asli Remaja kategori lelaki yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah pada 2014.

Sepupunya, Khairul Hairuzi Osman, 36, berkata, pemergian Angah sangat dirasai kerana mereka berdua memang rapat sejak kecil namun dia reda dengan segala takdir yang ditentukan.

Menurutnya, dia dan Allahyarham tinggal bersama kerana rumah mereka di Kampung Teluk Nipah, Kuala Muda berhampiran selain mempunyai ikatan keluarga.

“Arwah seorang yang rajin bekerja, selain menerima undangan menyanyi saya dan Angah juga turut menjalankan perniagaan kedai makan di kampung.

“Malah, arwah juga cukup mesra dengan semua orang dan tidak pernah berkira langsung untuk menghulurkan bantuan sekiranya saya atau rakan dalam kesusahan,” katanya.

Menurutnya, dia dan Allahyarham ada memelihara seorang anak angkat lelaki yang kini berusia dua tahun dan sebelum meninggal dunia arwah berpesan supaya menjaga anak angkat itu dengan baik.

“Arwah yang masih bujang itu anak kedua daripada lima beradik dan semua ahli keluarganya dijangkiti Covid-19 dengan ada antara mereka masih menjalani kuarantin.

“Semua ahli keluarga sudah dimaklumkan pemergiannya kecuali ibu arwah kerana dia masih dirawat menggunakan bantuan oksigen,” katanya.

Menurutnya, mereka kali terakhir bertemu selepas dia menghantar arwah yang mengadu tidak boleh bernafas ke HSAH tiga hari sebelum itu.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!