Politik

Noh Omar ajak Bersatu sertai Umno jika mahu menang PRU15

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar menasihatkan agar ahli-ahli Parlimen Bersatu kembali semula kepada Umno sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau yang baru sahaja kembali menerajui Umno Selangor sebagai Pengerusi baharu pada April lalu berkata, ianya untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang akhirnya boleh menguntungkan pihak parti pembangkang, DAP.

Noh Omar turut menyarankan agar ahli Parlimen Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), meninggalkan parti itu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dikala keadaan Bersatu yang ketika ini sudah berpecah kepada dua kem.

“Pandangan dari Umno Selangor, jika mahu menggunakan nama Perikatan Nasional dalam PRU15 untuk mengelakkan berlakunya pertandingan tiga penjuru yang boleh menyebabkan undi Melayu berpecah dan akhirnya DAP akan kembali berkuasa, semua ahli Parlimen Bersatu kembalilah kepada Umno dan tinggalkan Bersatu kepada Atuk, Anak dan Cucu.

“Saya sebut dalam temubual Muafakat Nasional Selangor bersama Umno Online tempohari,” katanya seperti dipetik melalui Facebook rasminya.

Terdahulu, seorang penganalisis politik mengatakan terdapat perbincangan sedang diadakan antara Bersatu dan Muafakat Nasional bagi membolehkan parti itu kembali menyertai Umno dalam masa terdekat.

Sinar Harian dalam satu laporan memetik penganalisis veteran tersebut, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain yang mendakwa terdapat perbincangan antara Bersatu dan Muafakat Nasional berhubung perkara itu.

Pada masa sama, Exco Pemuda Bersatu (Armada), Muzammil Ismail turut mendedahkan bahawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pernah menawarkan Bersatu supaya kembali menyertai Umno.

Bagaimanapun, kata Muzammil seperti yang dipetik Malaysiakini, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tidak akan bersetuju dengan cadangan tersebut.

Loading...

Leave a Reply