Blog Berita Online

Berita Utama

Ibu hamil 7 bulan maut dalam perjalan pulang dari makan angin

IBU hamil tujuh bulan maut selepas kenderaan dinaikinya melanggar pokok di Kampung Bari Kecil, jam 2.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, Nurul Surianie Zahazani, 25, bersama suaminya, Muhammad Shafiq Shahrizan Mazlan, 25, yang memandu Proton Wira dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke Kampung Mangkok, Penarik, Setiu.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar pokok.

“Kaunter aduan trafik Setiu menerima panggilan jam 2.50 pagi memaklumkan kejadian maut itu berlaku di Kilometer (KM) 55 Jalan Kuala Terengganu ke Kota Bharu di Kampung Bari Kecil.

“Pemandu dan penumpang dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut. Pada jam 4.10 pagi, Hospital Setiu memaklumkan penumpang meninggal dunia dan pemandu yang mengalami kecederaan di kepala dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Afandi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ).

Sementara itu, rakan Allahyarham yang enggan namanya disiarkan berkata, Nurul Surianie sempat memuat naik status di WhatsApp meluahkan rasa gembira dapat bersiar-siar di Kuala Terengganu dari pagi hingga malam walaupun sarat mengandung anak sulung.

“Arwah berkahwin pada Ogos tahun lalu dan dia seorang sahabat yang baik, cepat mesra dengan sesiapa saja.

“Dia menjalankan perniagaan dalam talian secara sambilan, juga seorang yang tidak pernah berputus asa,” katanya.

Leave a Reply