Berita Utama

Pakar bius maut, Porsche dipandu hilang kawalan

BATU PAHAT – Seorang pakar bius sebuah hospital swasta di sini maut apabila kereta Porsche Coupe yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dua buah kenderaan di Jalan Kluang, Taman Koperasi Bahagia di sini pagi hari ini.

Dalam kejadian pada pukul kira-kira pukul 8.50 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Dr. Noor Zairul Muhammad, 50, meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala lelaki berusia 31 tahun yang juga pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire mengalami kecederaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Pegawai Bomba Kanan II Saifulle Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.59 pagi.

“Seramai 16 anggota bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kemalangan untuk memberikan bantuan kecemasan.

“Sejurus tiba di lokasi nahas benar terdapat kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu Porsche Coupe dan Toyota Vellfire.

“Terdapat dua mangsa terlibat dan salah seorang mangsa tersepit dalam kereta Porsche Coupe,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan, menurut saksi awal, mangsa yang memandu Porsche Coupe dikatakan gagal mengawal keretanya ketika melalui selekoh di laluan berkenaan.

Kereta terbabas lalu melanggar pembahagi jalan dan tiang lampu elektrik sebelum melambung dan terbalik ke laluan bertentangan serta melanggar Toyota Vellfire.

Saifulle berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dibawah kereta menggunakan peralatan khas.

Jelasnya, mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mengesahkan kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!