Video peniaga rojak di Pasar Malam Indera Mahkota, Kuantan ini pernah tular di laman sosial tidak lama dulu.
Apa yang istimewa adalah sikap pemurahnya yang ‘menghempas-hempas’ gelas rojak dan menekan hirisan buah sehingga padat telah menerima pujian daripada netizen.
Bagaimanapun petang semalam, seorang pengguna Twitter @sitisuaimii memaklumkan bahawa warga emas itu sudah kembali ke rahmatullah.
“Untuk makluman semua, pakcik ini baru sahaja meninggal dunia. Minta sedekahkan al-Fatihah buat arwah Pak Long,” ciapnya.
Difahamkan lagi, gadis tersebut menyatakan pakcik itu merupakan jiran niaga ibu bapanya sewaktu di pasar malam Jalan Gambut dahulu.
Dia dan keluarga menggelarnya sebagai ‘Pak Long’ kerana sejak kecil, mereka berniaga di tiga kedai bersebelahan antara satu sama lain.
Selain itu, @sitisuamii turut memberitahu bahawa selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pakcik itu sudah lama tidak berniaga di pasar malam sebab sakit.
Malah, dia sekeluarga baru sahaja mengetahui tentang pemergian arwah semalam.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan takziah dan turut bersedih atas berita pemergian insan berhati mulia itu.
Mereka tidak putus-putus mendoakan agar Allahyarham ditempatkan di syurga.
Bahkan, ada yang sedih sebab tidak berkesempatan menjamah ‘air tangan’ arwah.
Leave a Reply