Politik

PAN turun Sabah bantu Warisan dan PH menang PRN

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (PAN) akan turun ke Sabah membantu gerak kerja parti Warisan dan parti gabungan Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini.

Menurut Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd. Samad, PAN dengan persetujuan Presidennya, Mohamad Sabu bersetuju melantik Timbalannya, Salehuddin Ayub sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas PRN Sabah.

“Sepertimana diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penamaan calon ditetapkan pada 12 September ini.

“Oleh itu, kami akan bersama mengusahakan agar Warisan dan parti PH yang bertanding akan mendapat kejayaan cemerlang dalam PRN ini,” katanya.

Sementara itu, kata Khalid, Jawatankuasa Nasional PAN yang bermesyuarat semalam, telah meluluskan permohonan seramai 2,298 ahli baharu sepanjang Ogos lalu.

Jelas beliau, jumlah itu antara yang tertinggi bagi tempoh sebulan.

“Ia adalah tambahan kepada permohonan ulama dan ilmuan terkenal, Profesor Dr. Mohamad Kamil Abdul Majid dan rakan yang memohon menyertai PAN pada 5 September lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply