Politik

PAS macam pelacur, Umno perlu lawan PRU15 – Ku Li

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah melabelkan PAS sebagai “pelacur politik” yang perlu ditewaskan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini, Ahli Parlimen Gua Musang selama 12 penggal itu berkata tindak-tanduk PAS dalam pilihan raya kecil sebelum ini membuktikan parti itu tidak boleh dipercayai.

“Di (pilihan raya kecil) Tanjung Piai, ketika mereka dah bersama dengan kita, PAS tidak mengundi kita, mereka ada 3,000 ahli di Tanjung Piai tapi tidak sampai 1,000 yangundi kita. Mereka bukan rakan kongsi yang jujur. Begitu juga di Semenyih.

“PAS macam pelacur, sekejap (sokong) DAP, sekejap Semangat 46,” kata bekas presiden Semangat 46 itu merujuk kepada parti yang pernah dipimpinnya pada penghujung 1980 -an sebelum kembali menyertai Umno pada tahun 1996.

Ku Li mengasaskan Semangat 46 setelah tewas dalam pemilihan Umno pada 1988 apabila dia mencabar Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden Umno.

Pada masa itu kumpulan Ku Li mendakwa terdapat cawangan Umno tidak berdaftar, yang kemudiannya menyaksikan parti itu diharamkan oleh mahkamah.

Semangat 46 kemudiannya menjalinkan kerjasama dengan PAS di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bagi menghadapi pilihan raya umum 1990.

Ku Li berkata isu PAS mengganggu Umno bukan perkara baru.

“Dah lama kita lawan PAS. Bukan baru semalam, tapi sejak 1951, PAS mengacau Umno sejak itu, sampai sekarang, bukan benda baru,” katanya.

Justeru Ku Li turut menolak idea kerjasama antara Umno dan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kita tak boleh setuju kerana macam mana nak lakukan stategi setuju tiga penjuru di sini tapi satu lawan satu di tempat lain.

“Saya sokong kita lawan PAS (dalam pilihan raya umum akan datang),” kata pengerusi lembaga penasihat Umno itu.

Umno sebelum ini mengumumkan parti itu akan menentang Bersatu pada PRU15.

Bagaimanapun setiausaha agung parti itu Ahmad Maslan pada Rabu lalu berkata rundingan kerusi dengan PAS sedang berlangsung untuk mengelakkan pertembungan antara kedua-dua parti.

‘Di Gua Musang, Bersatu cuma ada 5 ahli’

Selain itu, Ku Li menegaskan bahawa Umno tidak akan memberikan kerusi mereka kepada Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

“Bersatu parti baru, tidak ada pengikut. Di Gua Musang mereka hanya ada empat ke lima orang ahli.

“(Setiausaha Agung Bersatu) Hamzah Zainuddin juga tidak ada tempat sebab itu kita beri di Larut kerana dia tidak boleh bertanding di Ipoh.

“(Ahli Parlimen Jeli) Mustapa Mohamed pula kita akan ambil balik kerusi itu. PAS kuat di sana tapi kita pernah kalahkan mereka.

“Lawan Bersatu lebih mudah daripada PAS tapi mereka mahu PAS tolong mereka, mereka juga harap Umno pun tolong.

“Kalau Umno tolong mudahlah (bagi Bersatu), tapi saya tak rasa kita akan tolong pengkhianat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan gaya bahasa yang digunakan Ku Li sehingga menggelarkan PAS sebagai ‘pelacur’.

“Ini bukan adab yang baik. Sudah pasti ramai yang tak senang.

“Politik yang kita perlu bawa ialah politik yang sihat dan bertamadun. Gelaran pelacur sama sekali tidak wajar digunakan,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!