Berita Utama

PAS parti agama yang tak malu, kata Tony Pua

KUALA LUMPUR – Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua menyelar tindakan PAS yang mengadakan kunjungan terhadap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Menurut Tony, tindakan parti yang berdasarkan agama itu sebagai tidak malu kerana melawat penjenayah terbesar negara.

“Inilah dia. Persahabatan karib antara penjenayah terbesar negara (dan terkenal antarabangsa), Najib Razak dengan pemimpin-pemimpin parti berdasarkan agama.

“Kononnya parti ini menegakkan keadilan, akhlak dan alim. Langsung tak malu.

“Apakah mesej yang nak disampaikan kepada rakyat Malaysia, terutamanya anak muda kita? Bahawa, salahgunakuasa, pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah adalah semua OK? soalnya melalui satu kemaskini di laman Facebook sebentar tadi.

Terdahulu Najib memaklumkan menerima kunjungan tetamu yang disifatkan sebagai “sahabat sejati” di kediaman beliau malam tadi.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mensabitkan Najib bersalah terhadap 7 pertuduhan rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Menerusi hantaran gambar di akaun Facebook beliau, Najib dilihat berdiri bersama beberapa ahli pimpinan tertinggi PAS.

“Saya ada tetamu lewat malam tadi. Tidak perlulah saya mengulas panjang.

“Sahabat sejati bukan sahaja mereka yang bersama ketika susah atau senang. Tetapi mereka yang sentiasa mendoakan kita,” tulisnya.

Antara yang hadir melawat beliau Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man, setiausaha agung Takiyuddin Hassan dan ahli majlis Syura, Khairuddin Aman Razali.

Semalam, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan.

Loading...

Leave a Reply