KOTA TINGGI – Sepasang kekasih warga Singapura rentung selepas kereta Ferrari dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar dalam kemalangan di Kilometer 57.5 Jalan Johor Bahru-Mersing pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada orang awam kira-kira jam 9 pagi.
Menurut beliau, Ferrari tersebut dipandu lelaki berusia 34 tahun bersama seorang wanita berusia 33 tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan. Mereka dipercayai dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Mersing.
“Kenderaan itu dipercayai terbabas sebelum terbabit kemalangan dan terbakar, menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada badan serta meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Selain itu, pesalah juga boleh hilang kelayakan lesen memandu selama lima tahun.
Leave a Reply