Tumpat: Belum kering air mata meratap pemergian ibu yang dijemput Ilahi akibat Covid-19, satu jam setengah selepas itu, si bapa pula menyusul, hari ini.
Suami isteri itu, Minah Ma’min, 69, dan Mahamood @ Omar Muhammad, 71, meninggal dunia pada 1.40 dan 3 pagi akibat dijangkiti virus Covid-19.
Anak mereka, Zuraida Mahamood, 32, berkata pemergian kedua ibu bapanya itu diibaratkan seperti sehidup semati kerana ketika hayat, suami isteri itu tidak pernah berenggang walau ke mana sahaja.
“Emak dimasukkan ke Hospital Tumpat dua minggu lalu selepas kerap demam dan ketika itu saya hanya memberikannya ubat dibeli daripada farmasi sebelum mendapati keadaan demamnya tidak kebah.
“Dua hari selepas itu emak dibawa ke klinik dan disahkan positif Covid-19 manakala ayah di rumah pula turut menunjukkan gejala sama sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi.
Zuraida berkata, sepanjang dirawat di dua hospital berasingan itu, dia dan lima adik beradiknya tidak pernah berpeluang berbual menerusi panggilan telefon bersama ibu dan bapanya itu kerana panggilan tidak diangkat dan ada kalanya suami isteri itu dilaporkan sangat penat.
Katanya, segala perkembangan ibu bapanya diketahui melalui petugas hospital yang turut mengirimkan foto.
“Dua hari selepas dimasukkan ke hospital, jururawat ada mengirimkan gambar emak tanpa memakai alat bantuan pernafasan dan kami menyangkakan keadaannya semakin pulih dan menimbulkan kelegaan.
“Bagaimanapun, kami kemudiannya difahamkan ketika itu emak membuang seketika alat terbabit, mungkin disebabkan tidak selesa atau ingin makan kerana emak ada memberitahu teringin makan buah limau dan air laici,” katanya yang sedang menjalani kuarantin di rumah.
Zuraida berkata, walaupun mereka enam beradik reda dengan pemergian itu, tapi jauh di sudut hati berasa sangat ralat kerana tidak dapat melihat kali terakhir wajah ibu bapa terutama tiga beradiknya yang menetap di luar Kelantan dan sudah lama tidak pulang ke kampung.
Katanya, dia tidak dapat membayangkan kepiluan tiga adik beradik yang menetap di luar Kelantan kerana bukan sahaja sudah lama tidak berjumpa emak dan ayah, malah menerima berita pemergian mereka buat selama-lamanya.
Suami isteri yang menetap di Kampung Tanjong Che Mas itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Dato dan liang lahad mereka terletak bersebelahan.
Allahyarham Minah dikebumikan pada 10 pagi manakala suaminya pada 3.30 petang dan proses pengebumian dijalankan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT), kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat dan beberapa waris mangsa lengkap memakai sut perlindungan diri (PPE).
Proses pengebumian diselia Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisansahseni Raja Semail itu memakan masa 10 minit.
Leave a Reply