Berita Utama

Pasangan warga emas meninggal dunia selang 15 jam

HULU TERENGGANU – Pasangan suami isteri yang berkahwin selama 64 tahun di Kuala Berang di sini meninggal dunia selang 15 jam antara satu sama lain.

Wan Yahya Wan Husein, 87, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9.40 malam semalam di kediaman anaknya di Kuala Berang di sini selepas pemergian isterinya, Wan Zainun Wan Chik, 84, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada pukul 6.48 pagi, hari sama.

Anak sulung mereka, Wan Rahimah, 63, berkata, bapanya yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru itu tidak dapat menahan kesedihan kehilangan suri hatinya hingga merisaukan ahli keluarga.

Katanya, ibunya yang menghidap kanser usus peringkat akhir dimasukkan ke hospital sejak 20 Oktober lalu manakala bapanya pula disahkan mengalami masalah paru-paru pada pertengahan bulan sama.

“Dalam keadaan diri yang turut lemah, ayah menguatkan semangat melihat jenazah emak sebelum disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Pusara kira-kira pukul 3 petang kelmarin.

“Kami sekeluarga tidak menyangka malam tadi ayah pula dijemput Ilahi mengiringi emak. Pemergian serentak kedua ibu bapa benar-benar mengejutkan kami adik-beradik tetapi reda dengan ketentuan Allah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Menurut Wan Rahimah, jenazah bapanya selamat dikebumikan kira-kira pukul 9 pagi ini di tanah perkuburan sama.

Katanya, kedua ibu bapanya merupakan pasangan romantis dan sepanjang lebih enam dekad usia perkahwinan, mereka tidak pernah bergaduh besar, bahkan semua keputusan dibuat secara perbincangan bersama malah mereka juga berkongsi tarikh lahir sama iaitu 15 April.

Menurutnya, bapanya seperti hilang semangat dan lemah apabila ibunya dimasukkan ke hospital hingga terpaksa ditempatkan di wad selama lima hari pada 22 Oktober lalu untuk menerima rawatan lanjut.

“Ayah sebelum ini mengalami masalah gangguan saraf dan emak yang menjadi teman setia menjaganya.

“Kelmarin, kami adik-beradik membawa ayah ke hospital berjumpa emak lebih kurang satu jam. Ayah menangis sambil memegang erat tangan dan merenung wajah emak sesekali matanya dipejamkan seperti memendam sesuatu,” katanya. – UTUSAN

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!