Berita Utama

PDRM sahkan Addy Kanna, Leong Yeong tidak terlibat Macau Scam

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan dua individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pengubahan wang haram baru-baru ini, tidak terbabit dalam kegiatan penipuan atau Macau Scam di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan mendapati, dua lelaki terbabit iaitu Addy Kanna dan seorang lelaki dikenali sebagai Goh Leong Yeong@Alvin berperanan sebagai koordinator atau ejen untuk menyediakan kemudahan kediaman, pusat panggilan yang dilengkapi peralatan komputer dan telekomunikasi serta kemudahan internet.

“Pusat panggilan yang beroperasi di unit kediaman mewah dan pejabat itu menjalankan operasi harian dengan menyasarkan rakyat di China sebagai mangsa aktiviti perjudian, penipuan pelaburan mata wang asing (Forex) dan penipuan pembelian barang serta tuntutan barang seperti scam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, dakwaan pihak tertentu mengaitkan kegiatan penipuan dalam talian di negara ini dengan dua individu terbabit adalah tidak tepat.

“Kegiatan penipuan dalam negara dilakukan sindiket penipuan lain. Dakwaan pihak tertentu yang menganggap kegiatan penipuan dalam talian di negara ini membabitkan dua individu itu adalah tidak tepat,” katanya.

“Dakwaan mengatakan Addy Kanna akan dibebaskan juga tidak tepat kerana individu itu sedang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) bersama dua lagi individu.

“Kita juga masih mengesan Alvin yang melarikan diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada 11 Oktober lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbualan telefon penipuan dalam talian oleh seorang lelaki yang mendakwa ahli kepada rangkaian kumpulan Addy Kanna yang tular sejak minggu lalu.

Menerusi perbualan selama 13 minit 34 saat, lelaki itu mendakwa Addy Kanna akan dilepaskan secara mudah disebabkan jaringan hubungan dengan pemimpin politik.

Pada awal perbualan, lelaki itu memperkenalkan diri sebagai pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang mendakwa mangsa ada membuat penghantaran barang ke sebuah pejabat pos di Sabah.

Bagaimanapun, mangsa dapat menghidu taktik lelaki itu yang menipunya dan memberikan butiran peribadi yang tidak tepat sehingga menimbulkan kemarahan lelaki berkenaan.

Kedua-duanya mula berbual secara baik selepas mangsa meminta maaf kerana memarahi lelaki yang cuba menipunya secara dalam talian atau Macau Scam.

Lelaki itu turut menjelaskan kegiatan penipuan yang dijalankan rangkaian mereka menjana pendapatan lumayan sehingga puluhan dan jutaan ringgit kerana sikap mangsa yang tidak berhati-hati.

Sementara itu, Huzir berkata, pihaknya akan mendedahkan butiran kegiatan penipuan oleh dua individu tersebut dalam masa terdekat bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan rakyat tempatan.

Loading...

Leave a Reply