Blog Berita Online

Berita Utama

Pekebun haram Musang King pertimbang saman kerajaan Pahang

PETALING JAYA – Seramai 204 pekebun durian Musang King di Raub, Pahang, yang mendapat penangguhan interim daripada Mahkamah Rayuan awal tahun ini untuk terus mengusahakan tanah mereka kini mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa negeri, kata seorang peguam.

Siew Choon Jern berkata, sekumpulan peguam sedang membincangkan sejumlah pilihan walaupun satu perbicaraan telah dijadualkan pada 21 Julai untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Dis.

“Kami sedang mengumpul maklumat daripada pekebun-pekebun itu dan pada masa sama telah menulis kepada pihak berkuasa negeri meminta penjelasan,” katanya kepada FMT.

Beliau bingung dengan tindakan Jabatan Perhutanan negeri memasuki tanah terbabit dan menebang pokok durian, katanya.

“Sangat membingungkan pihak berkuasa masuk ke tanah sedangkan pekebun telah mendapat perintah yang mengekalkan status quo,” katanya.

Dilaporkan semalam, 18 individu termasuk seorang wanita direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan kes meneroka hutan simpan kekal (HSK) di Batu Talam, Raub, yang dikatakan bagi tujuan menanam durian Musang King.

Ini susulan langkah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), yang diwakili pegawai penyiasat Asmadi Mohd, memohon tempoh reman selama empat hari atas alasan pihaknya memerlukan lebih masa bagi merekodkan kenyataan kesemua suspek.

Peguam Chan Yen Hui hari ini berkata, semua 18 pekebun berkenaan termasuk Presiden Save Musang King Alliance (SAMKA) Wilson Chang dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini.

Pada 5 Jan, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan interim untuk 204 pekebun durian Musang King di Raub sehingga selesai rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menafikan izin untuk semakan kehakiman.

Ini bererti mereka boleh terus mengusahakan tanah berkenaan tanpa gangguan pihak berkuasa.

Kata peguam Brendan Navin Siva, sehingga isu ini diselesaikan di Mahkamah Rayuan, status quo kekal untuk pekebun terbabit.

Pada 23 Dis tahun lalu, hakim Zainal Azman Ab Aziz menolak permohonan untuk izin mendapat semakan kehakiman terhadap notis usir dikeluarkan kepada pekebun terbabit oleh kerajaan negeri.

Dalam keputusannya beliau berkata, notis itu tidak boleh disemak oleh mahkamah manakala pekebun terbabit adalah penceroboh, seterusnya tiada hak mengikut undang-undang.

Pekebun terbabit memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap perintah kerajaan negeri itu yang mengarahkan mereka mengosongkan tanah masing-masing di sekitar Raub, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit dan Sungai Klau, membabitkan keluasan kira-kira 2,167ha.

Mereka menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Selain perintah untuk mengosongkan tanah berkenaan mengikut Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga mahukan perintah berhubung keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun tersebut kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu semakan keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Leave a Reply