Berita Utama

Pekerja kilang maut selepas motosikal dirempuh dari belakang

KUANTAN – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang lelaki disyaki mabuk di Jalan Sungai Lembing di sini.

Dalam kejadian jam 1.10 pagi tadi, Muhammad Akmal Hakim Misnan, 22, dari Kampung Padang meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan ke Kampung Padang.

“Ketika di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mangsa secara tiba-tiba dirempuh MPV jenis Toyota Avanza dari arah belakang menyebabkan mangsa terjatuh di tengah jalan.

“Motosikal mangsa tersangkut pada bahagian hadapan MPV dipandu lelaki berusia 26 tahun itu. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian kandungan alkohol dalam darah pemandu MPV berkenaan melebihi had yang dibenarkan ketika memandu.

“Sampel darah dan air kencing pemandu yang tidak bekerja itu dihantar ke Jabatan Kimia Pahang untuk ujian toksikologi.

“Suspek direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!