KUALA LUMPUR – Pekerja perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) maut selepas motosikalnya bergesel dengan sebuah kereta sebelum terbabas dan digilis lori di susur ke Lebuhraya Sultan Iskandar Shah di sini, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 6.52 pagi.
Menurutnya, ia membabitkan penunggang motosikal, Nur Saiful Fitri Samsulnzli, 28, yang maut di lokasi kejadian selepas terbabit kemalangan dengan kereta dan lori.
Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa dari arah Istana Negara mencelah antara kereta dipandu wanita berusia 29 tahun dan lori dipandu lelaki berusia 28 tahun.
“Ketika mangsa berada antara dua kenderaan itu, motosikalnya dikatakan bergesel di bahagian sisi kereta dan menyebabkannya terbabas ke bawah tayar lori sebelum digilis.
“Ia menyebabkan mangsa mengalami parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta dan lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkefly berkata, mayat lelaki itu dibawa keForensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan bedah siasat akan dibuat selepas keputusan ujian Covid-19 diperolehi.
Leave a Reply