PENDANG – Seorang pelajar tingkatan lima maut setelah motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta sewaktu dalam perjalanan ke sekolah, di Jalan Felda Sungai Tiang di sini, pagi ini.
Mangsa, Muhammad Hasrul Hakimi Ibrahim, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian setelah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga, kira-kira pukul 7.20 pagi ini.
Menurut ibu mangsa, Halimaton Naimah Mat Isa, 37, kemalangan itu berlaku tidak lama selepas Muhammad Hasrul menghantar dua adiknya yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang.
“Mereka keluar dari rumah di Kampung Kubang Badak kira-kira pukul 7 pagi. Selepas hantar dua adiknya, Noor Salihatul Nabila, 12, dan Faiz Qayyum, Muhammad Hasrul sepatutnya menuju ke sekolahnya pula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang.
“Namun ketika dalam perjalanan ke sekolahnya itu, dia terlibat dalam kemalangan. Saya terkejut apabila suami, Ibrahim Ahmad, 48, menerima panggilan telefon mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8 pagi.
“Kami ke lokasi, namun jasad anak telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar. Disebabkan itu, kami terus ke sana untuk menuntut jenazah anak,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Unit Forensik HSB di sini, hari ini.
Difahamkan, motosikal ditunggang Muhammad Hasrul bertembung dengan kereta dipandu seorang guru wanita yang mengajar di sekolah adik mangsa.
Tambah Halimaton, mereka sekeluarga amat merasai kehilangan Muhammad Hasrul yang mesra dipanggil ‘Abang Chik’.
“Sebagai anak sulung daripada lima beradik, dia memang menjadi harapan keluarga. Selama ini pun jika cuti sekolah, dia rajin bantu menambah rezeki keluarga dengan menolong saya menoreh getah atau bersama ayahnya mengawal lalu lintas di kuari,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, motosikal ditunggang mangsa turut melanggar pokok dan Pejabat Felda Sungai Tiang setelah bertembung dengan kereta berkenaan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya yang memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN
Leave a Reply