Berita Utama

Pelajar tingkatan 5 maut dilanggar pemandu mabuk

KUALA LUMPUR – Ada lagi nyawa melayang gara-gara pemandu mabuk.

Kali ini, seorang pelajar sekolah menengah meninggal dunia apabila menjadi mangsa kemalangan melibatkan pemandu disyaki memandu dalam keadaan mabuk di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Dzulkifly Yahya berkata, kejadian berlaku awal pagi semalam sekitar jam 3 pagi di Jalan Raja Laut.

Kejadian itu melibatkan dua kenderaan iaitu penunggang motosikal Yamaha Y15 dan pemandu kenderaan Myvi berwarna silver.

“Dalam kejadian berdekatan Public Bank menghala ke Jalan Ipoh itu, pemandu kereta Myvi dari susur jalan Sri Amar (Chow Kit) tiba-tiba mengubah haluan secara melintang untuk memasuki lorong Tiong Nam.

“Pada masa yang masa penunggang motosikal dikenalpasti sebagai remaja berusia 17 tahun yang bergerak lurus di Jalan Raja Laut terkejut kehadiran Myvi secara tiba-tiba sebelum telah melanggar pintu sisi depan kiri.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa seorang pelajar yang masih bersekolah jatuh atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan polis mendapati mangsa, Muhammad Hazeq Hakimi Romli merupakan pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Keramat.

Tambah beliau, pemandu Myvi itu berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pelatih anjing ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, sapek telah dilibatkan dalam ujian EBA iaitu mengukur tahap kandungan alkohol dalam badan dan bacaan menunjukkan 165miligram /100mililiter melebih had yang ditetapkan pihak berkuasa di atas jalan.

Suspek direman untuk siasatan lanjut selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kes dikendalikan oleh pegawai penyiasat Inspektor Vishnuhindran Arumugam.-MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply