Berita Utama

Pelajar universiti maut terjun dari tingkat 18 akibat cemburu

AYER KEROH – Angkara mengesyaki teman lelaki ada wanita lain, seorang pelajar sebuah universiti di sini dipercayai membunuh diri dengan terjun dari tingkat 18 sebuah pangsapuri di Bukit Beruang di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mayat pelajar berusia 21 tahun itu ditemui rakan-rakannya di atas tanah di belakang blok kediaman asrama mereka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, remaja terbabit dipercayai terjun dari tingkat 18 pangsapuri sebelum mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Berdasarkan keterangan rakan mangsa, sekitar jam 10 malam semalam (Khamis) mangsa bersama rakan-rakannya berbincang tentang hubungannya dengan teman lelaki.

“Ketika perbincangan satu pertengkaran berlaku apabila si mati mengesyaki teman lelakinya ada wanita lain sebelum dia berlari keluar dari rumah pada kira-kira jam 1 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Susulan itu Afzanizar berkata, rakan-rakannya kemudian mencari pelajar itu di sekeliling kawasan penginapan universiti.

“Pada kira-kira jam 1.30 pagi, rakan-rakannya menjumpai mayat mangsa di atas tanah di belakang Blok D pangsapuri terbabit.

“Siasatan polis dibuat di setiap tingkat Blok D yang kosong dan telah menjumpai sepasang selipar di atas simen dan satu cermin mata putih di atas tembok berhampiran tangga di tingkat 18 Blok D.

“Mangsa dipercayai telah membunuh diri dengan cara terjun dari tingkat 18 blok berkenaan,” katanya.

Tambahnya mayat kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!