PETALING JAYA – Dramatis Maimon Mutalib, 54, yang mengidap penyakit kanser payudara (tahap keempat) telah meninggal dunia pada pukul 2.30 petang Sabtu di kediamannya di Seksyen 17, Shah Alam.
Berita itu telah disahkan oleh anak kedua pelakon tersebut iaitu Surayatul Nadia Keristifa, 32.
Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir ketika beliau tiba di rumah selepas dibenarkan keluar daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya, di sini sekitar pukul 12 tengah hari Sabtu.
“Sudah empat hari lalu ibu dimasukkan wad dan dia sudah mula tenat sejak semalam (Jumaat).
“Kemudian pada tengah hari tadi (Sabtu), doktor meminta pihak keluarga untuk membawanya pulang,” kata Nadia yang dihubungi mStar Online di sini pada Sabtu.
Tambah Nadia, dia turut memohon maaf sekiranya tidak menjawab panggilan mana-mana pihak yang ingin mendapatkan pengesahan pemergian ibunya itu kerana sibuk menguruskan jenazah.
Jenazah dijangka akan dikebumikan pada malam ini di kampung halamannya di Kg. Sialang, Tangkak, Johor.
Maimon atau nama sebenarnya Maimon Abdul Mutalib merupakan ibu tunggal kepada lima cahaya mata iaitu Kamarul Syahid Keristifa, 34, Surayatul Nadia Keristifa, 32, Surayatul Natasya Keristifa, 25, serta sepasang kembar Abdul Rahman Haji Keristifa dan Abdul Rahman Haj Keristifa, 16.
Antara filem-filem popular lakonannya ialah Qabil Khushry Qabil Igam, Chermin, CUCI, Pensil, Appalam, Semerah Cinta Stilleto, Otai, Sumpahan Kum Kum, Chantek, dan Budak Pailang.
Allahyarham juga cukup popular dengan penampilan watak yang pelbagai menerusi ratusan drama di televisyen.
Leave a Reply