Blog Berita Online

Berita Utama

Pemandu ambulans maut, motosikal ditunggang rempuh kereta

KOTA BHARU : Seorang pemandu ambulans maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang keluar dari simpang secara mengejut di belakang sebuah kompleks beli-belah di Lembah Sireh di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, mangsa, Mohd. Razimin Hasshim, 36, mengalami cedera parah pada kepala sebelum disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini kira-kira lebih lima jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Perodua Kancil dipandu seorang remaja berusia 17 tahun keluar dari kawasan parkir pusat beli-belah itu sebelum terus keluar dan membelok ke kanan dari simpang tiga.

Menurutnya, insiden itu menyebabkan motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa tidak sempat mengelak sebelum merempuh sisi kiri bahagian depan kereta tersebut.

“Wanita itu mendakwa dia tidak menyedari kehadiran motosikal mangsa kerana pandangannya terbatas akibat terlindung landskap bunga yang berada di atas pembahagi jalan sebelum keluar dari simpang.

“Mangsa tidak sedarkan diri dibawa ke HRPZ II sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8 malam semasa menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, pemandu kereta jenis Perodua Kancil itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang tidak dapat mengesan kehadiran motosikal mangsa sebelum membelok ke kanan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HRPZ II hari ini untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih diteruskan,” ujarnya- UTUSAN

Leave a Reply