Blog Berita Online

Berita Utama

Pemandu lori maut dilanggar ketika periksa tayar bocor

KULAI – Seorang pemandu lori maut dilanggar sebuah motosikal semasa melihat tayar lorinya yang bocor di Kilometer 21.8 Leburaya Utara Selatan, arah selatan, dekat sini pada Sabtu.

Ketua Pols Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima laporan kejadian tersebut pada jam 1.10 petang.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila lori mangsa mengalami kerosakan iaitu tayar bocor.

“Mangsa kemudian memberhentikan lori di lorong kecemasan untuk turun melihat keadaan tayar lori sebelum dilanggar motosikal Honda C100 dari arah belakang,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 39 tahun itu cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk bedah siasat.

“Sementara penunggang motosikal cedera parah di bahagian badan dan kepala dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beng Yeow berkata, kenderaan terlibat akan dibawa ke Pejabat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn Bhd (Puspakom) untuk pemeriksaan.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply