Blog Berita Online

Berita Utama

Pemandu maut, kereta Audi terbabas langgar belakang lori

BAGAN SERAI – Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah setelah kereta jenis Audi yang dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kilometer 179, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan berhampiran hentian rehat Alor Pongsu dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, mangsa yang maut ialah pemandu, Muhammad Aiman Maznan, 26, manakala penumpang, Muhammad Faris Shohaimi cedera parah.

Menurutnya, kemalangan berlaku pada kira-kira pukul 4.05 petang ketika mereka dari arah Sungai Petani, Kedah menghala ke arah Kuala Lumpur.

“Kereta dinaiki mangsa dipercayai telah kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuhraya di sebelah kanan. Kereta mangsa kemudiannya berpusing dan terbabas ke lorong kiri sebelum melanggar bahagian belakang sebelah kiri sebuah lori ayam.

“Muhammad Aiman yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala maut di tempat kejadian manakala rakannya yang juga penumpang kereta, cedera parah di kepala. Pemandu lori yang berusia 55 tahun pula cedera ringan,” katanya di sini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan manakala mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik hospital yang sama.

“Siasatan di tempat mendapati kemalangan berlaku setelah kereta jenis Audi yang dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang lori ayam itu,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply