Berita Utama

Pemandu Perodua Myvi mohon maaf, ampun

JOHOR BAHRU – “Saya mohon maaf dan keampunan daripada keluarga mangsa,” kata Nur Fatin Nasrah Suhaimi.

Nur Fatin, 23, yang juga pemandu Perodua Myvi menyebabkan kematian seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sabtu lalu, menyatakan demikian dengan linangan air mata ketika membuat rayuan dalam prosiding di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

“Saya mengaku salah dan sangat menyesal atas perbuatan saya.

“Saya memohon maaf dan ampun daripada keluarga mangsa kerana menyebabkan kejadian ini,” katanya.

Nur Fatin dituduh dia memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian anggota TLDM, Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, Sabtu lalu.

Namun, ayah mentua kepada Allahyarham Mohd Rizal yang yang duduk di galeri awam dilihat menggeleng-gelengkan kepalanya.

Beliau turut menyatakan tidak akan memaafkan Nur Fatin, ketika wanita berkenaan sedang membuat rayuannya.

Ibu Nur Fatin yang turut hadir bersama abang dan kakaknya turut dilihat mengalirkan air mata sambil mengurut dada dan menyebut ‘Allahuakbar’ ketika mendengar rayuan anaknya itu.

Terdahulu, Nur Fatin yang memakai jaket berwarna hitam tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada 8.40 pagi dan dilihat disorong dengan kerusi roda diiringi anggota polis trafik pengiring.

Sabtu lalu, polis dilaporkan menahan pemandu Perodua Myvi berkenaan selepas dia terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, hingga menyebabkan Mohd Rizal maut.

Video kemalangan maut berkenaan tular di media sosial sejak Sabtu lalu menyebabkan pemandu wanita terbabit dikecam netizen selain kes berkenaan menjadi tumpuan awam.

Loading...

Leave a Reply