KUALA LUMPUR: Sistem tempahan janji temu pemberian vaksinasi kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun melalui aplikasi MySejahtera akan dibuka pada hujung bulan ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang mengumumkan perkara itu berkata sebagai permulaan ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak mereka sebagai tanggungan dalam aplikasi berkenaan.
Susulan itu, katanya tempahan janji temu vaksinasi bagi golongan berkenaan akan dibuka secara berperingkat bermula hujung bulan ini untuk mereka yang tinggal di Lembah Klang.
“Pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun akan diadakan pada 3 Februari 2022 di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.
“Tempahan janji temu vaksinasi bagi kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun akan dibuka secara berperingkat bermula 31 Januari 2022 dan dibuka kepada ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang dahulu.
“Perincian mengenai akses kepada sistem tempahan janji temu akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.
Khairy berkata Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C) mengadakan mesyuarat pertamanya pada 19 Januari lalu.
Jelasnya, mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
“CITF-C berperanan membentuk dasar, menyelaras strategi pengoperasian, mengenal pasti perkara yang boleh serta pemantauan pencapaian Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids).
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon kepada majikan supaya memberikan cuti tanpa rekod kepada ibu bapa yang membawa anak mereka untuk vaksinasi dan juga untuk membuat pemerhatian kepada kesihatan anak mereka selepas vaksinasi.
“KKM menyasarkan 70 peratus kanak-kanak lima hingga bawah 12 tahun dalam sistem pendidikan dapat diberikan dos satu vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan pada awal Februari 2022 dan 80 peratus akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan pelaksanaan,” jelasnya.
Leave a Reply