Politik

Pemimpin PAN cadang tukar ketua pembangkang

KUALA LUMPUR – Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib menggesa parti itu dan parti pembangkang lain membentuk semula Pakatan Harapan (PH) Plus dengan pengerusi baharu, selain menggantikan ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

Ia, katanya, berikutan kegagalan PH mendapatkan akuan bersumpah (SD) atau sokongan mencukupi dari kalangan ahli Parlimen bagi pencalonan Perdana Menteri kesembilan.

“Calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mampu mengumpul 92 SD berbanding 114 diperoleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Oleh itu, AMANAH Bukit Bintang mendesak supaya AMANAH dan parti pembangkang lain mengambil ketetapan mewujudkan semula PH Plus, melantik pengerusi PH Plus yang baharu, seterusnya menukar dan mencalonkan ketua pembangkang baharu bagi menggantikan ketua sedia ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, calon ketua pembangkang di Dewan Rakyat mestilah pemimpin yang dipercayai penuh oleh semua parti pembangkang dalam PH dan sekutunya.

“Dasar ‘grand coalition’ oleh AMANAH perlu direalisasikan dan jangan dibunuh kerana tekanan mana-mana pihak. Menukar ketua pembangkang adalah jalan terbaik bagi mengembalikan kepercayaan rakyat dan membina kembali kerajaan yang dihormati.

“Ramai calon boleh diketengahkan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atau mereka yang dipersetujui PH Plus,” katanya.

Ahmad Asri berkata, PH dibina atas dasar kesepakatan PKR, DAP dan AMANAH, manakala parti pembangkang lain adalah Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Warisan Sabah (WARISAN), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Bebas.

“Kemenangan PH semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah kerana mempunyai seorang calon Perdana Menteri yang diyakini rakyat Malaysia ketika itu, iaitu Dr Mahathir.

“Beliau disokong oleh rakyat dan membawa satu kejayaan serta sejarah dengan menjatuhkan kerajaan UMNO, Barisan Nasional. Sokongan tidak berbelah bahagi parti-parti dari Sabah dan Sarawak juga memberi dukungan penuh kepada calon PM ketika itu hinggalah terbinanya kerajaan PH,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!