Politik

Pemimpin Warisan dakwa pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara

CALON Warisan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Datuk Mohamaddin Ketapi mendakwa insiden berdarah berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 sebagai sandiwara.

Mohamaddin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Segama berkata, ketika insiden itu berlaku pasukan keselamatan hanya berperang dengan ayam dan kambing.

“Kamu ingat dahulu PRU dahulu dia bilang Filipina mau ambil Sabah jadi ada peperangan konon di Tanduo datang la jet di Tanduo dibomnya sana kelapa sawit orang. Habis kelapa sawit orang.

“Habis rumah orang ditembak. Ini kenyataan. Habis di Tandou disuruh kereta kebal masuk pergi kampung-kampung suruh berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang? Tidak ada. Ayam sama anjing dia berperang.

“Apabila habis pilihan raya sudah tidak ada pulak peperangan itu,” kata Mohamaddin dalam klip video yang tular di media sosial hari ini.

Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu mendakwa, beliau tidak pernah berjumpa dengan lanun atau rakyat Filipina yang mahu merampas Sabah sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak tahun 1986.

“Tetapi saya ingat saya wakil rakyat Lahad Datu tahun 1986 dalam Parti Bersatu Sabah. Kawasan itu dari Lahad Datu, Tungkuk sampai ke Tanjung Labian dan Tanduo.

“Saya kalau melawat ke Tungkuk saya ikut itu — dari Lahad Datu ke Tanjung Labian, kadang kala malam tidak ada juga kita jumpa lanun dan Filipin yang mau merampas Sabah ini.

“Kadang kala itu pukul 2 pukul 3 pagi naik kereta dari Tungkuk jalan teruk lagi waktu itu. Hutan. Tidak ada juga kita jumpa orang yang membawa senjata mahu berperang ataupun daripada pihak Filipin yang mahu merampas Sabah ini. Tidak ada,” kata Mohamaddin.

Beliau yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mendakwa, insiden di Tanduo sengaja diadakan bagi menyelamatkan UMNO daripada kalah kepada Parti Keadilan Rakyat.

“Tetapi apabila ketika itu kononnya UMNO akan kalah pada PKR terus ada perang di Tanduo. Banyak orang mati disebabkan sandiwara itu. Sandiwara membunuh orang sahaja,” kata Mohamaddin.

Tragedi berdarah Tanduo berlaku apabila kumpulan pengikut Jamalul Kiram III yang mendakwa waris sah Kesultanan Sulu telah menceroboh dan mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 12 Februari bagi menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu,

Seramai10 anggota keselamatan dan enam penduduk Sabah maut dalam insiden tersebut.

Kronologi pencerobohan pengganas Sulu

Februari 2013: Pengganas mendarat di Kampung Tanduo

12 Februari 2013: Laporan polis mengenai kehadiran pengganas difailkan di Balai Polis Cenderawasih, FELDA Sahabat

12 – 28 Februari 2013: Ops Sulu dilancarkan, rundingan polis dan kumpulan pengganas gagal

1 Mac 2013: Pertempuran tercetus antara polis dan pengganas di Kampung Tanduo mengorbankan dua anggota Komando 69 dan 12 pengganas

2 Mac 2013: Enam anggota polis terkorban diserang hendap pengganas ketika menjalankan pemeriksaan di Kampung Simunul, Semporna

2 – 4 Mac 2013: Penduduk Zon Labian: Tanduo , Sungai Nyamuk, Sungai Merah, Tanjung Batu, Tanjung Batu, Tanagian dipindahkan ke penempatan sementara di FELDA Sahabat, Lahad Datu

5 Mac 2013: Ops Daulat dilancarkan, tentera melaksanakan serangan udara ke atas kubu pengganas di Tanduo disusuli operasi darat

5 Mac – 1 April 2013: Operasi penggeledahan dan pembersihan di Zon Labian dilaksanakan – 65 pengganas ditembak mati, 100 ditangkap

30 Jun 2013: Ops Daulat ditukar kepada Ops Sanggah

26 Julai 2016: 9 anggota pengganas dihukum penjara sepanjang hayat, 8 termasuk 3 rakyat tempatan dipenjara antara 10 tahun hingga 15 tahun

15 Januari 2018: 9 anggota pengganas yang didapati bersalah dalam tragedi pencerobohan di Lahad Datu lima tahun lalu, kekal ke tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka untuk diringankan hukuman.-SM

Loading...

Leave a Reply